Apakah itu
HIPERTENSI?
Tekanan Darah ialah satu ukuran
kekuatan yang diperlukan untuk mengalirkan darah ke seluruh badan melalui
saluran-saluran darah bagi membekalkan oksigen dan zat-zat makanan ke seluruh
badan. Darah hanya boleh sampai ke seluruh badan dengan adanya satu tekanan.
Tekanan ini dihasilkan apabila jantung mengepam. Darah yang dipam ke seluruh
badan ini akan kembali ke jantung semula melalui pembuluh darah untuk
mendapatkan oksigen dan zat-zat makanan yang baru.
Setiap orang mempunyai tekanan
darah yang berbeza dan boleh berubah setiap masa. Contohnya tekanan darah
meningkat apabila dalam keadaan tertekan/marah dan menurun apabila sedang
berehat atau tidur.
Sasaran tekanan darah normal : BP
≥ 140 / 90mmHg
Hipertensi adalah apabila nilai
bacaan tekanan darah (BP) melebihi 140/90mmHg dan kekal tinggi walaupun semasa
berehat.
Tekanan darah menjadi tinggi:
Sebab-sebab Utama
1. Apabila salur nadi halus
menjadi sempit akibat timbunan lemak di dindingnya.
2. Apabila salur nadi halus
mengecut kerana perasaan suka, takut, bersenam, tertekan, merokok dan
kadangkala oleh sesetengah jenis makanan.
3. Apabila isipadu darah
meningkat contohnya disebabkan pengambilan garam yang berlebihan dalam makanan.
4. Apabila lebih banyak isipadu
darah terpaksa dipam oleh jantung untuk dibekalkan kepada tisu-tisu lemak yang
berlebihan pada individu yang berlebihan
berat badan.
Sebab-sebab lain
1. Masalah organ (Buah pinggang,
Adrenal, Thyroid)
2. Ubat-ubatan (contohnya ubat
tahan sakit, STeroid dan lain-lain)
Tanda-tanda dan gejala Hipertensi
- Digelar pembunuh senyap kerana
jarang menunjukkan tanda-tanda.
-Kadangkala ada tanda-tanda
seperti sakit atau pening kepala disebabkan tekanan darah terlalu tinggi atau
naik secara mendadak.
Faktor-faktor lain yang dikaitkan
dengan hipertensi.
-Usia yang meningkat.
-Keturunan yang menghidapi
penyakit hipertensi.
-Pengambilan garam berlebihan
dalam pemakanan.
-Obesiti.
-Merokok.
-Tidak bersenam atau kurang
bersenam.
-Penyakit kencing manis
(diabetes).
-Hyperlipidemia.
Apakah komplikasi Hipertensi?
Tekanan darah yang tinggi akan
mengakibatkan bebanan kepada organ dalam badan dan boleh menyebabkan kerosakan.
Di antara komplikasi/kesan akibat
penyakit Hipertensi adalah seperti:
Otak
-
Serangan strok/ angin ahmar atau strok ringan dan sementara (Transient
Ischaemic Attack).
-
Pendarahan dalam otak.
Penyakit jantung
-Coronary
Heart Disease
-Congestive
Heart Failure
-Left
Ventricular Hypertrophy
Komplikasi pada mata
-Pendarahan
dan kerosakan pada kawasan yang sensitif dalam mata. Keadaan yang dikenali
sebagai Hypertensive Retinopathy.
Komplikasi pada buah pinggang
-
Kegagalan fungsi buah pinggang (paras serum kreatinin tinggi, Microalbuminuria,
Proteinuria).
Komplikasi pada saraf
-Kebas
tangan dan kaki
-Mati
pucuk untuk lelaki
Bagaimana untuk kekal sihat dan ceria?
- Patuhi temujanji doktor
- Kawal pemakanan
- Berdisiplin dalam pengambilan
ubat
- Lakukan senaman secara berkala
- Atasi tekanan/stress secara
berkesan
- Berhenti merokok dan
pengambilan alkohol
- Kurangkan berat badan jika
berlebihan
Tip Pengambilan Ubat
1. Makanlah ubat menurut dos yang
diarahkan dan jangan berhenti makan ubat kecuali dengan arahan doktor.
2. Teruskan pengambilan ubat
walaupun rasa sihat. Cubalah untuk makan ubat pada masa yang tetap setiap hari.
3. Jika terlupa makan ubat,
makanlah apabila teringat. Sekiranya sudah hampir pada waktu untuk dos
berikutnya, tinggalkan dos yang terlupa. Jangan gandakan dos yang berikutnya.
4. Jangan makan ubat bersama arak
atau minuman beralkohol kerana pengambilan bersama-sama mungkin akan
meningkatkan kesan sampingan ubat.
5. Jangan makan ubat-ubatan ini
bersama ubat-ubat lain seperti ubat batuk, ubar selsema, ubat untuk penyakit
cirit-birit dan lain-lain lagi sebelum memberitahu Doktor atau Pegawai Farmasi
anda.
6. Jangan menyimpan berbagai
jenis ubat dalam satu bekas yang sama. Simpan ubat di dalam bekas yang
berasingan dan berlabel.
7.Pastikan bekalan ubat yang
mencukupi, jangan menunggu sehingga ubat di dalam simpanan kehabisan untuk
mengambil bekalan yang seterusnya.
8. Sila bawa bersama ubat-ubat
atau senarai ubat-ubat yang dimakan apabila berjumpa semula dengan doktor.
9. Simpan ubat di tempat yang
sesuai dan selamat.
10. Jauhi semua ubat dari
kanak-kanak dan sesiapa yang tidak berkenaan.
11. Buang / Pulangkan semua ubat
yang tidak digunakan lagi.
PENJAGAAN PEMAKANAN
Kenapa perlu mengawal pemakanan?
-Mencapai dan mengekalkan tekanan
darah normal bagi mengurangkan komplikasi Hipertensi.
-Mendapatkan tenaga dan keperluan
zat yang cukup.
-Mencapai berat badan dan ukur
lilit pinggang yang ideal.
Bagi pesakit hipertensi, kawalan
pengambilan garam dan pengambilan makanan yang sihat melengkapkan rawatan untuk
mengawal tekanan darah.
Pengambilan garam perlu dihadkan
kepada kurang dari satu sudu teh sehari. Jumlah ini melibatkan garam yang
ditambah semasa penyediaan makanan dan garam tersembunyi dalam makanan.
Semasa penyediaan makanan,
gunakanlah perisa asli bagi menggantikan garam dan penambah rasa makanan.
Antara perisa asli yang boleh digunakan adalah:
1. Bawang merah, bawang putih dan
halia.
2. Rempah ratus seperti kayu
manis, bunga lawang dan bunga cengkih.
3. Serai, lengkuas dan daun
kunyit.
4. Perahan jus limau.
Disamping mengawal pengambilan
garam, pengambilan makanan yang sihat berikut penting dalam mengawal tekanan
darah:
1. Sayur dan buah yang mencukupi.
2. Susu rendah lemak/ hasil
tenusu rendah lemak.
3. Makanan mil penuh, ikan, ayam,
kekacang dan legume.
4. Makanan rendah lemak, rendah
lemak tepu dan kolesterol.
Penurunan Berat Badan
1. Penurunan berat badan terbukti
dapat menurunkan tekanan darah bagi individu yang berlebihan berat badan.
2. Kawal berat badan supaya
berada dalam julat berat yang ideal.
3. Turunkan berat badan dengan
mengawal pengambilan makanan dan lakukan senaman secara teratur.
Kaedah mengurangkan pengambilan lemak dan gula:
1. Lemak
Buang
lemak yang kelihatan pada daging dan ayam sebelum memasak.
Rebus
tanpa lemak/ santan/ minyak.
Bakar
tanpa lemak/ minyak/ santan menggunakan rempah-ratus. Kemudian tambah sedikit
air pada pinggan pembakar dan balut makanan dengan daun pisang/ daun kunyit/
'aluminium foil' sebelum dibakar.
Goreng
tanpa menggunakan lemak/ minyak dengan kuali 'tak melekat'.
Kari
boleh disediakan dengan menggunakan susu cair/ susu skim/ susu soya (tanpa
gula) menggantikan santan atau dipekatkan dengan menggunakan kentang di awal
masakan.
Gantikan
produk lemak tinggi seperti susu penuh krim dengan produk rendah/ tanpa lemak
seperti susu skim/ susu rendah lemak dan lain-lain.
Gantikan
snek berlemak seperti kek/ kuih manis dengan snek 'sihat' seperti buah-buahan/
sandwic/ jagung rebus (tanpa margerin).
Buang
lebihan lemak dari sup dengan cara menyejukkan sup terlebih dahulu dan kemudian
buangkan lapisan lemak beku di permukaan atasnya.
2. Gula
Amalkan
minum air kosong/ mineral/ jus buah-buahan segar yang tidak dimaniskan.
Gantikan
snek/ pencuci mulut/ buah-buahan dalam tin dengan buah-buahan segar.
Hidangkan
gula berasingan untuk minuman panas.
Gantikan
susu pekat manis dengan susu tepung skim/ rendah lemak.
Tip umum pemakanan sihat
1. Makan di luar
Kurangkan
makan di luar.
Hadkan
makanan segera.
Pilih
masakan sup, bakar, panggang, rebus, pindang atau singgang.
Pilih
makanan berkuah tanpa santan berbanding bergoreng
Elak
tambah petis, garam, sos dan kicap dalam makanan.
2. Tabiat mengambil makanan
ringan (snek)
Pilih
snek yang rendah kandungan garam.
Pilih
buah segar berdanding buah jeruk.
Elakkan
menambah kicap dan asam boi pada buah.
Kurangkan
pengambilan keropok, kerepek, kentang goreng dan kekacang bergaram.
3. Membaca label makanan
Baca
label dan periksa kandungan garam (garam boleh wujud dalam bentuk sodiumalginate, sodium sulfate, sodium
caseinate, disodium phosphate, sodium benzoate, sodium hydroxide, monosodium
glutamate, sodium citrate)
Pilih
makanan dengan istilah low-sodium,
low-salt atau salt free pada
label makanan.
Pengurusan Tekanan@Stress
Stress yang sederhana adalah
berguna tetapi stres berlebihan mengancam kesihatan.
Stress sederhana
|
Stress berlebihan
|
Meningkatkan prestasi, merangsang dan menggalakkan
kreativiti.
|
Menyebabkan kemerosotan prestasi, keletihan,
kemurungan dan memudaratkan kesihatan.
|
Teknik Relaksasi
-Merupakan satu teknik psikologi
membantu mengurangkan tekanan, emosi dan fizikal dengan mengawal perasaan
psikologikal badan.
Kebaikan Relaksasi Dari Segi
Mental dan Fizikal
-Melancarkan sistem saraf seperti
menurunkan tekanan darah, menurunkan kadar denyutan nadi dan jantung dan
melancarkan pernafasan.
-Menenangkan dan mendamaikan
fikiran.
-Mengurangkan ketegangan
otot-otot.
-Meningkatkan daya konsentrasi
dan ingatan.
-Mengurangkan tekanan emosi dan
kemarahan.
-Menggalakkan tidur yang nyenyak.
Teknik-teknik Relaksasi
1. Teknik pernafasan
- Posisikan badan dalam keadaan
selesa
Duduk
Baring
-Pejam mata, kurangkan imaginasi
dalam pemikiran dan fokus pada pernafasan.
-Tarik nafas melalui hidung,
tahan nafas selama tiga saat, kemudian hembuskan perlahan-lahan melalui hidung.
-Terapkan perasaan lega pada
setiap hembusan nafas.
-Ulangi langkah ini sebanyak lima
kali sehingga tenang dan relaks.
-Akhirnya, buka mata
perlahan-lahan.
2. Teknik imaginasi
- Posisikan badan anda dengan
selesa
Duduk
Baring
- Pejamkan mata anda, kosongkan
fikiran dan alihkan fikiran anda kepada satu situasi yang tenang dan relaks.
- Bayangkan anda berada di tempat
tersebut. Contoh di tepi laut, air terjun, taman bunga dan lain-lain.
- Cuba gunakan deria-deria asas
anda seperti penglihatan, pendengaran, hiduan, sentuhan dan rasa persekitaran
yang anda bayangkan.
- Cuba berada di tempat bayangan
anda selama 10 saat.
- Sekiranya anda telah berpuas
hati dan cukup relaks, anda boleh perlahan-perlahan bukakan mata anda dan
bangun dari posisibaring atau duduk dan bersedia untuk melakukan aktiviti
harian anda yang seterusnya.
Tip-tip lain:
- Kongsi masalah anda bersama rakan/
ahli keluarga
-Libatkan/ Sibukkan diri dengan
aktiviti sosial/ riadah, keagamaan.
- Kurangkan masa untuk termenung
bersendirian.
PANDUAN SENAMAN
Kebaikan Senaman:
- Dapat memperbaiki pengaliran
darah dalam tubuh.
- Membantu individu mengurangkan
tekanan emosi.
- Memberi faedah psikologikal
seperti mengurangkan rasa cemas dalam diri.
- Membantu pengawalan berat badan
dengan membakar kalori.
- Mengurangkan lemak dan
karbohidrat dalam tubuh jika diamalkan bersama dengan pemakanan yang teratur.
- Menguatkan jantung.
- Membantu tidur dengan nyenyak.
Tip-tip Senaman
1.Bersenamlah sekurang-kurangnya
20-30 minit satu sesi dan sekurang-kurangnya 3 kali seminggu.
2. Mulakan program senaman
perlahan-lahan dan kemudian tingkatkannya dari semasa ke semasa.
3. Senaman perlu dibuat mengikut
kehendak dan kesenangan anda. Lakukan senaman dengan bersungguh-sungguh dan
berterusan, tetapi tidaklah memudaratkan.
Peraturan Bersenam
1. Dapatkan nasihat doktor
mengenai program senaman anda, supaya bersesuian dengan keupayaan kesihatan,
fizikal dan potensi anda untuk melakukannya.
2. Lakukan senaman yang sesuai
dengan kemahiran, kesihatan dan keupayaan fizikal anda.
3. Jangan bersenam ketika sakit
atau cedera.
4. Pastikan anda memanaskan badan
sebelum bersenam dan menyejukkannya
selepas bersenam.
5. Gunakan kasut yang sesuai,
pakaian yang selesa dan tidak terlalu ketat.
6. Lakukan senaman dengan betul
bagi mengelakkan kecederaan.
7. Sebelum bersenam, elakkan
minuman berkafein kerana ia boleh meningkatkan tekanan darah.
No comments:
Post a Comment