Pengenalan
Kanser merupakan
masalah yang semakin meningkat di seluruh dunia yang melibatkan
sekurang-kurangnya sembilan juta orang dan membunuh lima juta yang lain.
Kejadian sebenar kanser
di Malaysia tidak diketahui dan dianggarkan 150 kes setiap 100,000 penduduk.
Bilangan kes baru pula dianggarkan
27,000 kes setiap tahun. Ia merupakan salah satu daripada 10 penyebab utama
kematian di Malaysia.
Masalah kanser di
Malaysia mungkin meningkat pada masa akan datang mengikut perubahan dalam gaya
hidup dan persekitaran serta pertambahan penduduk yang meningkat usianya.
Apakah Kanser?
Badan kita terbentuk
dari berjuta-juta sel. Kanser merupakan sejenis penyakit sel. Apabila
sebilangan sel itu mati akibat meningkat usia atau kecederaan, sel-sel yang
lain akan membiak untuk membentuk sel-sel baru bagi menggantikannya. Badan kita
biasanya membentuk jumlah sel-sel yang tepat dari segi bilangan dan jenisnya
serta berhenti membiak apabila tugas tersebut telah sempurna.
Kadangkala sel-sel di
dalam badan terus membiak dan membahagikan dirinya tanpa berhenti dengan tidak
mempunyai sebab tertentu. Sel-sel yang tidak normal ini secara perlahan-lahan
membentuk satu benjolan tisu yang digelar tumor. Tumor ini menekan sel-sel
disekeliling dan mengambil makanan darinya. Tumor ini mungkin kanser.
Adakah Semua Tumor itu
Malignan?
Tidak semua tumor itu
malignan. Tumor boleh jadi benigna (bukan kanser) atau malignan (jenis kanser).
Tumor benigna masih boleh menyebabkan penyakit jika ia berkembang di dalam otak
atau kawasan tertutup yang lain di dalam badan. Tumor malignan merebak ke
bahagian badan yang lain.
Bagaimana Kanser
Merebak?
Tumor malignan terdiri
dari sel-sel kanser. Jika tidak dirawat, ia boleh merebak dan memusnahkan tisu
sekeliling. Kadangkala, sel-sel ini berpecah dari tumor malignan yang asal dan
merebak ke bahagian badan yangnlain. Ini disebut kanser sekunder atau
metastasis. Sebagai contoh, jika kanser payudara merebak ke tulang. Ia tidak
dianggap sebagai kanser tulang, yang mana ianya merupakan satu penyakit yang
lain.
Kanser merebak ke
tempat-tempat lain di badan dengan memaksa di antara sel-sel yang normal.
Sel-sel kanser juga merebak dari tempat asalnya ke bahagian badan yang lain
menerusi aliran darah atau saluran limfa, kemudian ke bahagian badan yang lain
di mana ia membentuk pertumbuhan kanser yang baru.
Apakah Yang Menyebabkan
Kanser?
Sebab sebenar kanser
pelbagai jenis kanser tidak diketahui. Sehinggakan 90% daripada kanser adalah
dikaitkan dengan alam sekeliling dan cara hidup. Faktor risiko kanser boleh
dibahagikan kepada yang tidak boleh diubahsuai dan yang boleh diubahsuai.
Faktor risiko yang
tidak boleh diubahsuai termasuk jantina, umur dan pembentukan genetik. Mereka
yang mempunyai ahli keluarga yang menghidap sebarang jeis kanser mungkin
berisiko lebih tinggi untuk mendapat kanser
Faktor risiko yang
boleh diubahsuai adalah dikaitkan dengan cara hidup dan alam sekeliling, iaitu
apa jua yang berinteraksi dengan manusia termasuklah bahan makanan yang
dimakan, diminum dan dihisap, sinaran, pendedahan di tempat kerja, tabiat seks
dan bahan-bahan yang terdapat di udara, air dan tanah. Faktor yang boleh
diubahsuai termasuklah:
Tembakau
-90% daripada kanser paru-paru adalah disebabkan oleh amalan
menghisap tembakau. Tar yang terkandung di dalam tembakau juga dikaitkan dengan
kanser larinks, mulut, farinks, esofagus, pundi kencing, pankreas, buah
pinggang dan serviks (pangkal rahim).
Dier (pemakanan)
-Adalah dianggarkan sebanyak 30-40% dari semua jenis
kanser dikalangan lelaki dan wanita dikaitkan dengan diet. Beberapa kajian
menunjukkan, lemak yang berlebihan di dalam diet menmbah risiko kanser kolon,
payudara dan lain-lain. Pengambilan makanan yang digaramkan, bersalai dan jeruk
bernitrit yang berlebihan juga dikaitkan dengan kanser esofagus, perut dan
nasofarinks.
Tabiat Seks
-Melakukan perhubungan seks pada usia yang muda dan
dengan pasangan yang ramai menambah risiko kanser serviks.
Alkohol
-Pengambilan minuman beralkohol yang berlebihan secara
berterusan akan menambah risiko kanser ruang mulut, farinks dan esofagus. Ia
juga kerap dikaitkan dengan kanser hati.
Makan Sirih dan
Mengunyah Tembakau
-Faktor ini boleh membawa kepada kanser mulut.
Jangkitan Hepatitis B
-Jangkitan virus Hepatitis B mendedahkan seseorang kepada
kanser hati.
Pendedahan Cahaya
-Secara amnya pendedahan kepada agen karsinogen di tempat
kerja dan alam sekeliling boleh menyebabkan kanser tertentu.
Bagaimana Mencegah
Kanser?
Setengah jenis kanser
boleh dicegh dengan mengamalkan gaya hidup sihat. Anda boleh mengurangkan
risiko kanser dengan melaksanakan tanggungjawab untuk kebaikan diri anda
sendiri dengan mengamalkan tabiat berikut:
-Memilih untuk tidak
merokok dan menjauhkan diri dari asap rokok.
-Memakan makanan
seimbang (kurang lemak dan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran).
-Mengekalkan berat
badan yang optima melalui senaman yang tetap dan makanan yang sihat.
-Mengelakkan hubungan
seks dengan berbilang pasangan.
-Mengurangkan
pengambilan minuman beralkohol secara berlebihan.
-Mendapatkan imunisasi
Hepatitis B yang lengkap.
-Mengamalkan kebersihan
mulut yang baik termasuk mengelakkan makan sirih dan menyentil tembakau.
-Mengamalkan
Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP) setiap bulan.
-Mendapatkan
pemeriksaan perubatan yang tetap.
Pengesanan Awal Kanser
Mengamalkan cara hidup
sihat membantu anda mengurangkan risiko kanser. Kadangkala kanser tidak boleh
dielakkan. Dalam situasi ini, pengesanan awal kanser merupakan satu lagi aspek
penting yang perlu diberi keutamaan. Pengesanan awal kanser diikuti dengan
rawatan yang segera menambah peluang untuk terus hidup. Anda boleh membuat yang
berikut untuk mengesan kanser awal:
-Mengetahui 9 tanda
amaran awal kanser dan mendapatkan pemeriksaan perubatan yang segera.
-Pemeriksaan payudara
untuk mengesan kanser kanser payudara.
-Pemeriksaan Pap Smear
untuk mengesan kanser serviks.
-Pemeriksaan sendiri
mulut untuk mengesan kanser mulut.
9 Tanda Amaran Awal
Kanser
Terdapat beberapa tanda
amaran awal kanser. Jika seseorang itu mengalami satu atau lebih tanda-tanda
ini, ia tidak semestinya kanser. Tetapi individu sedemikian perlu berwaspada
dan berjumpa doktor yang mana akan mendiagnosa sebab tanda amaran itu. Di
antara tanda-tanda tersebut ialah:
-Pendarahan dari faraj
yang berlaku antara tempoh haid atau selepas putus haid.
-Benjolan pada payudara
atau sebarang perubahan yang dikesan pada payudara.
-Perubahan pada amalan
membuang air besar.
-Benjolan di leher yang
tidak wujud sebelum ini.
-Ulser yang tidak
sembuh atau benjolan atau tompok-tompok putih dan merah di mulut.
-Suara garau lebih dari
dua minggu.
-Pendarahan yang luar
biasa dari hidung atau hilang pendengaran atau telinga yang berdengung.
-Sakit atau
ketidakselesaan pada perut yang berterusan.
-Batuk yang berterusan
dan kahak berdarah.
Jika anda mengalami
sebarang tanda-tanda tersebut adalah dinasihatkan supaya anda segera berjumpa
doktor. Mungkin gejala-gejala ini bukan disebabkan oleh kanser tetapi anda
perlu berwaspada.
Pengesanan Awal Kanser
Payudara
Kanser payudara adalah
penyebabkan utama kematian akibat kanser di kalangan wanita di Malaysia.
Kematian dari kanser jenis ini boleh dielakkan melalui pengesanan awal dengan
pemriksaan payudara.
Kebanyakan kanser
payudara dikesan oleh wanita itu sendiri. Semua wanita berusia 20 tahun ke atas
hendaklah melakukan Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP) setiap bulan antara 7
hingga 10 hari selepas haid atau pada tarikh yang ditetapkan setiap bulan bagi
mereka yang telah putus haid.
Wanita berusia 30 tahun
ke atas hendaklah juga mendapat pemeriksaan payudara oleh doktor setahun sekali
Pengesanan awal kanser
payudara membolehkan rawatan yang berkesan dilakukan tanpa membuang payudara
dan memberi peluang untuk terus hidup.
Pengesan Awal Kanser
Serviks
Kanser serviks
merupakan penyebab kedua kematian akibat kanser di kalangan wanita di Malaysia.
Kanser serviks boleh sembuh jika dikesan awal dan diberikan rawatan segera.
Kanser serviks boleh
dikesan secara senang dengan satu ujian yang mudah dan tidak menyakitkan yang
dipanggil Ujian Pap Smear. Wanita yang berumur antara 20-65 tahun, yang aktif
seks atau pernah aktif seks dahulu, hendaklah menjalani Ujian Pap Smear setiap
3 tahun.
Masa yang paling sesuai
untuk menjalani Ujian Pap Smear ialah pada pertengahan pusingan haid atau 10
hari selepas kedatangan haid.
Ujian Pap Smear boleh
didapati di semua Klinik Kesihatan Kerajaan, Klinik Perancang Keluarga dan
Hospital/Klinik Swasta.
Pengesanan Awal Kanser
Mulut
Kanser mulut sering
berlaku di dalam mulut di bahagian pipi, lidah atau gusi. Kebanyakan kanser ini
disebabkan oleh amalan merokok, makan sirih dan menyentil tembakau.
Tanda-tanda dan gejala
kanser mulut selalu menyerupai keadaan yang sering ditemui di mulut: ulser yang
tidak sembuh, benjolan, tompok merah dan/atau putih. Tanda-tanda ini mudah
dilihat dan dirasai dan dengan itu adalah mudah diperhatikan. Anda boleh
meneliti tanda-tanda ini dengan melakukan Pemeriksaan Sendiri Mulut dengan
bantuan sebuah cermin atau pertolongan dari kawan anda untuk melihat ke dalam
mulut anda.
Dapatkan pemeriksaan
mulut daripada doktor gigi anda jika ulser berkenaan tidak sembuh secara normal
dalam tempoh dua minggu.
Rawatan
Kebanyakan kanser boleh
disembuhkan jika dikesan dan dirawat awal. Pengesanan awal dan rawatan segera
boleh membantu kanser tertentu dari merebak dengan teruk.
Tiga cara utama merawat
kanser adalah pembedahan, radioterapi dan kemoterapi. Setiap satu boleh
digunakan secara bersendirian atau digabungkan dengan rawatan lain. Rawatan
kanser bergantung kepada jenis kanser, sejauh mana ia merebak dan kesihatan am
pesakit.
No comments:
Post a Comment